Waspada beli barang dalam talian - Saifuddin

Waspada beli barang dalam talian - Saifuddin

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika membeli barangan secara dalam talian berikutan meningkatnya kes penipuan seumpama itu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia juga susulan daripada peningkatan jumlah pendaftaran syarikat e-dagang di negara ini.

“Dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, kementerian menerima 11,393 kes membabitkan pelbagai aduan rakyat dan daripada jumlah itu, 25.7 peratus adalah aduan berkaitan penipuan transaksi secara dalam talian.

“Ia adalah aduan kedua tertinggi selepas aduan berkaitan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program keusahawanan pelajar di Kolej Vokasional Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Muez Abd Aziz.

Saifuddin berkata selain laman sesawang, rata-rata pembeli juga cenderung untuk membeli barangan tertentu menerusi laman sosial seperti Facebook, yang ia dilihat lebih memudahkan mereka.

“Sebab itu kita menasihatkan pembeli supaya lebih berhati-hati sekiranya mahu membuat transaksi secara dalam talian, bukan saja kepada syarikat tetapi juga menerusi individu yang menjual barangan dengan cara itu.

“Bagi mengelakkan menjadi mangsa (penipuan), pembeli digalakkan menyemak profil syarikat yang menjual barang itu terlebih dulu menerusi laman sesawang rasmi KPDNHEP. Mana-mana penjual yang berdaftar dan mendapat pensijilan Biztrust adalah yang boleh diyakini,” katanya. - BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/08/593491/waspada-beli-barang-dalam-talian-saifuddin